Tuesday, August 26, 2014

nn @ terima kehendak Allah




TERIMA DAHULU KEHENDAK ALLAH

Nukilan Fuad Latip


Lama tidak menulis.

Saudara, apabila ada masalah dan masih belum selesai masalah tersebut, maka yang utama bukan pening kepala memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah itu terlebih dahulu. Tetapi yang utama adalah menerima dahulu kehendak Allah dengan aturanNya.

Apabila masalah tidak selesai, kita masih ada peluang masuk ke Syurga Allah dan menemuiNya. Namun andai GAGAL menerima kehendak Allah, Allahurabbi… masuklah kita dalam kumpulan Iblis yang tidak menerima kehendak Allah walaupun hanya satu hal yakni sujud pada Adam. Nauzubillah.

Lalu mari kita menerima kehendak Allah ke atas apa yag berlaku. Menerima kehendak Allah bukan bermakna MENYERAH KALAH. Tetapi kita masuk ke tingkatan bertenang di mana kita mengikut aturan Allah.

Di dalam ketenangan itu nanti ada ilham yang masuk ke hati kita dan menjana fikiran dan idea dalam menyelesaikan masalah itu. Nanti akan kelihatan jelas jalan-jalan penyelesaian ketika hati dalam ketenangan yang asli. Tidak dibuat-buat tenang dengan memasukkan fikiran yang positif sedangkan jiwa tetap gelisah.

Ujian adalah untuk mengetahui tahap iman kita. Kita mungkin sudah dapat mengatasi masalah yang lain. Lalu diuji lagi dengan ujian yang lain untuk kita tahu samada kita mampu atau tidak untuk ujian seterusnya.

Hal ini akan berterusan. Corak kehidupan ini sentiasa berulang. Lalu tidak ada apa yang perlu dipeningkan. Hari ini selesai, esok kita akan hadapi lagi hal yang lain. Kita teruskan lagi. Ia sebuah permainan yang menarik dan harus dinikmati kerana selepas satu hal berjaya kita atasi, lalu ada lagi yang lain.

Bahagianya ada di ketika kita tetap bergantung pada Allah. Kita sedar kita hidup dalam sebuah permainan aturan Allah. Kita ikut Allah. Kita jadi PEMAIN YANG TERBAIK!!!

[praktikal]
Cara yang mudah agar mampu menerima kehendak Allah adalah mendirikan solat. Kemudian berdoalah sentiasa dalam setiap saat hidup ini dengan apa jua ayat dan cara berdoa. Yang pasti doanya adalah untuk memohon agar hati ini mampu menerima kehendak Allah ke atas diri kita.

Saya selalu berdoa mudah tidak kira di mana dan waktu….

“Ya Allah, Aku mohon ya Allah agar hatiku ini mampu menerima kehendakMu ya Allah. Aku terima segala kehendakMu ya Allah. Aku terima ya Allah. Aku redha ya Allah. ya Allah…. kuatkan jiwa ini agar mampu menerima segala kehendakMu ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih.”

Ulangi doa ini selalu. Jika ingin yang singkat, cukuplah berdoa ” ya Allah aku terima kehendakMu ya Allah.. aku terima.”

Salam Jumaat. Didoakan agar bersemangat dan sentiasa ceria di dalam sedar pada Allah setiap saat hidup.

Fuad Latip
27 November 2013

No comments: